Khalifah Allah

Setiap manusia yang lahir ke dunia ini bukan sekadar untuk hidup mandiri, makan minum, berhibur dan berkeliaran di bumi. Allah telah menempatkan manusia di bumi sebagai khalifah: pemegang amanah untuk menjaga keseimbangan kehidupan dan memakmurkan bumi mengikut petunjuk-Nya.

Jadi, untuk memahami kedudukan manusia dalam Islam, kita perlu kembali kepada penjelasan wahyu tentang siapakah manusia dan apakah peranannya di bumi. Jika tidak ditakuti kita akan mengenali manusia melalui rujukan dari sumber lain yang bukan wahyu. Bagaiman kedudukan kita sebagai seorang muslim jika ini cara yang kita pegang?

Al-Quran menjelaskan bahawa manusia mempunyai dua kedudukan yang saling melengkapi: sebagai hamba Allah dan sebagai khalifah di bumi.

Konsep khalifah dalam Islam

Allah berfirman:

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.
(al-Baqarah, 30)

Ayat ini memperkenalkan satu konsep yang sangat penting dalam pandangan hidup Islam, iaitu bahawa manusia dicipta untuk dijadikan sebagai khalifah di bumi.

Perkataan khalifah pada asasnya bermaksud pengganti atau wakil yang memikul amanah. Namun dalam konteks kehidupan manusia, ia merujuk kepada makhluk yang diberi tanggung jawab oleh Allah untuk mengurus dan memakmurkan kehidupan di bumi. Hal ini digambarkan oleh ayat 62 an-Naml.

Tanggungjawab seorang khalifah digariskan oleh ayat-ayat yang menyebut khalifah, atau yang membawa maksud khalifah.

i. Ayat 165 al- Anam menyebut, dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ayat ini menggambarkan asal kejadian manusia bahawa setiap manusia dianugerahi ketinggian darjat yang beberapa sahaja dan tidak sama antara seorang dengan yang lain.

Jika ketinggian darjat manusia hanya beberapa sahaja bagaimana hendak mendapat kehidupan yang sempurna di bumi! Seorang doktor mempunyai kemahiran menangani kesihatan tetapi tidak mampu membuat pakaian, seorang petani mahir dalam pertanian tetapi tidak dapat membaiki peralatan elektrik, dan sebagainya.

Kedudukan ini memerlukan manusia saling bergantung kepada orang lain untuk memenuhi keperluan hidupnya. Ini menggmbarkan tanggungjawab seorang khalifah.

ii. Ayat 69 al-Araf menyebut dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Kekuatan ialah yang berkait dengan jasmani seperti tangan, kaki, mata, manakala kelebihan adalah yang berkait dengan otak seperti kecerdikan, naluri, emosi, kasih sayang.

Ayat ini membayangkan tanggungjawab seorang khalifah adalah bermula dengan menggunakan kelebihan dan kekuatan itu.

iii. Ayat 74 al-Araf menyebut di hujung ayatnya dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi. Ini menggambarkan tanggungjawab seorang khalifah iaitu menjaga alam ini.

Hal ini dijelaskan lagi oleh ayat 62 an-Naml yang menyebut serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi, ertinya bahawa Allah melantik manusia sebagai pengurus dan pentadbir alam ini, bukan sekadar mendiami bumi sahaja.

Ini bermakna manusia bukan sekadar penghuni bumi, tetapi makhluk yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kehidupan: menjaga kehidupan manusia, mengurus dan memakmurkan alam ini.

Jadi apabila Allah menyebut Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi (al-Baqarah, 30) itu menegaskan bahawa manusia diberikan amanah yang besar:

· Menjadi pengurus bumi dan sekalian makhluk di dalamnya

· Menjalankan kehidupan yang selaras dengan kehendak Allah,

· Memikul tanggungjawab moral, sosial, dan ekologikal.

· Menjalani kehidupan yang saling bantu membantu antara satu sama lain.

Pendek kata menjadi khalifah bukan sekadar kedudukan simbolik, tetapi tugas yang memerlukan kesedaran dan penghayatan penuh terhadap ajaran Allah.

No comments:

Post a Comment

Islam bukan sekadar sistem hukum atau rangka ibadah. Ia adalah agama wahyu , yang membawa panduan lengkap untuk kehidupan manusia , sama ada...