Dari Islam Warisan kepada Islam yang Hakiki
Saya tidak bermaksud murtad. Tetapi saya harus akui bahawa saya pernah tersesat, bukan dari agama, tetapi dari tujuan agama.
Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga Muslim. Sejak kecil saya telah diajar cara-cara menunaikan solat, berpuasa di bulan Ramadan, menghormati ibu bapa, dan membaca al-Quran. Saya menghadiri kuliah agama, menadah kitab, mendengar ceramah, dan bergaul dengan ramai orang soleh. Saya bersyukur, kerana Islam telah menjadi identiti saya sejak lahir.
Tetapi satu hari, ketika saya menonton satu dokumentari tentang perjalanan beberapa penganut Kristian yang memeluk Islam saya terduduk dan termenung panjang. Mereka bukan berpindah agama kerana tekanan, atau kerana janji-janji duniawi. Mereka masuk Islam hanya kerana satu perkara: mereka menyedari bahawa Nabi Isa bukan Tuhan, tetapi hanyalah seorang Nabi.
Sedar bahawa mereka telah menyembah selain Allah, mereka kembali kepada fitrah, lalu berikrar bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawa Muhammad itu utusan Allah.
Itulah saatnya hati saya tersentak. Namun saya bukan hendak menukar agama. Tetapi saya tiba-tiba sedar, apakah selama ini saya benar-benar berada dalam Islam yang sebenar? Atau sekadar Islam yang saya warisi tanpa saya fahami maknanya?
Dari saat itu saya tergerak mula menyelidik, membaca semula al-Quran bukan dengan mata ibadah, tetapi dengan mata pencarian: apa sebenarnya yang Allah kehendaki daripada saya di bumi ini?
Lalu saya bertemu dengan satu ayat yang mengubah seluruh pandangan saya tentang Islam:
Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi ini… (al-Baqarah, 30).
.Ayat ini terasa seperti pisau menembusi dinding fikiran saya, seperti palu yang menghentam satu pintu yang selama ini terkunci. Ini bukan sahaja seperti ayat-ayat yang biasa, ini adalah soal pokok keberadaan saya di bumi, menjadi khalifah.
Betapa luluhnya hati apabila mengingat bahawa selama ini saya bukan seorang khalifah. Siapa saya? Setelah usia melewati 75 tahun baru tahu.
Selama ini saya mengaku hamba Allah namun tidak saya mengerti makna hamba Allah. Baru saya sedar bahawa saya sepatutnya menjadi khalifah.
Ya Allah ampunkan saya, berilah saya sedikit masa lagi untuk menjadi khalifah, moga saya akan pergi sebagai khalifah sekadar yang saya mampu..
Baru saya sedar selama ini saya mengamalkan Islam sebagai agama ritual, sembahyang, puasa, menunaikan haji tetapi saya telah melupakan bahawa saya diutus oleh Allah sebagai khalifah wakil-Nya di bumi,
Dari situ, saya menyedari satu hakikat besar:
Saya sepatutnya menjadi seorang khalifah di bumi; hidup saya seharusnya yang berorientasikan kekhalifahan, dan Islam saya atas kefahaman kekhalifahan.
Barulah saya sedar bahawa selama ini Islam saya Islam warisan, Islam yang saya fahami berasaskan ajaran ibu bapa, rakan taulan sekeliling, masyarakat sekitar saya.
Barulah saya sedar bahawa hidup di bumi ini bukan sekadar menunaikan ibadah ritual, hidup berpandukan hukum-hakam yang saya tidak mengerti tujuannya.
Saya sembahyang tetapi tidak mengerti tujuannya, saya puasa, menunaikan haji sekadar menunaikan tuntutan hukum wajib; saya bersedekah, menolong orang sekadar mengikut pengajaran di sekolah.
Saya tahu, mungkin ramai yang tidak selesa dengan kenyataan ini. Tetapi saya tidak menulis untuk menyalahkan sesiapa. Saya menulis kerana saya tahu, ramai di luar sana seperti saya: Muslim yang baik, tetapi belum menemui makna sebenar Islam sebagai sistem hidup yang berpaksikan misi kekhalifahan.
Namun sejak itu saya tetap terus beribadah seperti biasanya: sembahyang, puasa, zakat dan haji tetapi semata-mata dikatakan ini adalah Rukun Islam. Saya rasa tidak boleh menolaknya kerana yakin ibadah-ibadah ini berkaitan dengan kekhalifahan. Saya cuba memahaminya.
Saya lebih tekun menunaikannya sambil cuba memahami misi hidupnya yang berkait dengan khalifah. Saya kini faham, bahawa ibadah itu bukanlah matlamat, tetapi bekalan untuk menunaikan misi. Bahawa tujuan sembahyang bukan sekadar menyembah, tetapi membina kekuatan untuk melaksanakan amanah sebagai khalifah.
Maka dengan hati yang bersyukur, saya menulis buku ini -bukan kerana saya telah sempurna, tetapi kerana saya ingin berkongsi apa yang saya temui:
Barulah saya sedar bahawa Islam yang hakiki bermula apabila manusia menyedari dirinya sebagai khalifah, dan bahawa sebaik-baik manusia bukanlah yang paling banyak ibadah semata-mata, tetapi yang sejauh manakah ibadah-ibadah itu mendidik diri saya menjadi seorang kahlifah.
No comments:
Post a Comment